link href='http://imageshack.us/photo/my-images/98/sdsao.jpg/' rel='SHORTCUT ICON'/> ♥♥: Hentikan Pemanasan Global

Sabtu, 12 Juni 2010

Hentikan Pemanasan Global

Hentikan pemanasan global,
kurangkan perubahan iklim

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

SELAMAT malam kepada semua tetamu kita pada malam ini dan setentunya kepada para peserta dan para penceramah Bengkel ASEM 2010.

Saya dapat bayangkan bahawa sehingga kini, semua peserta bengkel telah meluangkan masa dalam ekosistem menarik yang meliputi hutan hujan tropika kami.

Negara Brunei Darussalam sangat bertuah kerana dikurniakan dengan salah sebuah tempat biodiversiti menarik yang terpenting di dunia, di mana pelbagai habitat boleh didapati, berbanding negara-negara lain di dunia.

Sama ada ini merupakan peluang awda kali pertama menjejakkan kaki ke dalam hutan hujan ataupun kepada awda yang sudah biasa dengan hutan. Saya yakin semua individu meninggalkan tempat-tempat menarik ini dengan perasaan kagum dan kerendahan hati dengan kepelbagaian dan jumlah kehidupan yang tinggal di khazanah semula jadi ini.

Hutan hujan tropika yang tidak tercemar di Pusat Kajian Luar Kuala Belalong telah sekian lama menarik minat para ilmuwan terkemuka dan para pelajar dari seluruh dunia untuk datang mengadakan kajian dan latihan tentang biodiversiti dan hutan hujan tropika.

Oleh yang demikian, saya berasa senang hati kerana bengkel ini menjadi contoh terhadap minat ini, dengan menghimpunkan para saintis muda dari Asia dan Eropah ke negara kita, untuk lebih mempelajari tentang perubahan iklim dan memperolehi kefahaman yang lebih mendalam tentang impaknya terhadap planet kita dan cabaran penting serta halangan yang dihadapi pemimpin-pemimpin dunia.

Setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan, bukan saja di masa hadapan, malahan sekarang untuk berusaha menghentikan pemanasan global dan mengurangkan perubahan iklim.

Saya amat pasti dengan keupayaan para individu untuk membuat perubahan dan kehadiran awda di sini merupakan bukti terhadap keupayaan ini.

Saya memuji semangat dan keprihatinan terhadap alam semula jadi kita yang telah membawa awda ke sini dan membolehkan kita berkongsi maklumat dan pengetahuan dengan lebih meluas yang wujud di kalangan para peserta bengkel ini.

Kita semua mempunyai tanggungjawab bagi memastikan masa depan yang lebih selamat bagi generasi akan datang.

Ia boleh dimulakan dengan sesuatu yang mudah seperti menanam sebatang pokok, bunga atau tumbuh-tumbuhan di halaman-halaman kita dan mengurangkan penggunaan kertas di sekolah atau tempat kerja, ataupun kita boleh mengurangkan penggunaan beg plastik dan pada masa yang sama mengitar semula sisa-sisa produk dan menjimatkan penggunaan tenaga dan air di rumah dan tempat kerja.

Tetapi yang paling penting, kita perlu memberi contoh dan menjadi teladan kepada anak-anak kita tentang kepentingan mengekalkan persekitaran dan biodiversiti kita, sama ada di hutan hujan tropika, terumbu karang ataupun sekadar tumbuh-tumbuhan dan kehidupan yang terdapat di taman atau persekitaran kita.

Ia adalah gaya hidup yang kita akan wariskan kepada anak-anak kita dan anak-anak mereka yang boleh menentukan cara perubahan iklim dunia.

Sehubungan dengan ini, pendidikan perlu dikedepankan dalam usaha-usaha kita bagi meningkatkan kesedaran dan mempromosikan minat pembelajaran tentang perubahan iklim dan pemuliharaan alam semula jadi.

Institut-institut pengajian tinggi seperti universiti-universiti mempunyai peranan penting dan tanggungjawab bukan hanya mendidik para belia kita tetapi juga dari segi penyelidikan saintifik dan perkongsian ilmu pengetahuan yang akan membantu negara-negara dan pemimpin-pemimpin mereka dalam membuat keputusan-keputusan tepat terhadap perubahan iklim.

Oleh itu, adalah menjadi harapan saya bahawa walaupun sudah pulang ke destinasi masing-masing baik dekat ataupun jauh, awda akan terus berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain, dalam perkongsian kerja untuk manfaat seluruh manusia dan penduduk-penduduk di bumi ini.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan syabas kepada Universiti Brunei Darussalam dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan di atas kerjasama mereka dalam mengungkayahkan dan mendukung bengkel antarabangsa ini dengan jayanya. Inisiatif mereka benar-benar merupakan satu contoh mengagumkan bagi perkongsian tempatan dalam memulakan usaha keprihatinan global.

Dengan kalimah suci 'Bismillahir Rahmanir Rahim', saya dengan perasaan gembira mengisytiharkan penutupan Bengkel ASEM 'Ke Arah Memahami Impak Perubahan Iklim Terhadap Biodiversiti dan Hutan Hujan Tropika'.

Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Slideshow

Terima Kasih atas Kunjungan anda Lain Kali datng lagi ke sini dilihat